Sunday, 27 May 2012

Lari! Demi Nyawamu!

 Patung perempuan tembaga yang diukir separuh itu dikatakan berpuaka. Salah langkah, boleh mengundang maut kepada pemiliknya. Kononnya usia patung itu sudah menjangkau 100 tahun.
 John tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita tersebut. Baginya, patung itu sama sahaja seperti patung-patung lain koleksi bapanya. Ketika bapanya membawa pulang patung itu yang dibeli dari sebuah acara lelongan harta, John memandang tanpa minat. Bapanya tidak akan membeli sembarangan patung sekiranya tiada nilai. Bahkan bapanya tentu tidak percaya kepada cerita-cerita karut itu dan sebab itulah sanggup membelinya dengan harga mahal.
 Bagi bapanya, walaupun patung itu dalam bentuk material tembaga, tetapi ukirannya sangat halus lagi teliti. Berada dalam posisi sedang membelai rambut sendiri yang berjuntaian di dada. Sekali pandang macam manusia yang benar. Tinggal lagi badannya cuma separuh, diletakkan di atas tiang bulat berukir.
 Namun, cerita-cerita yang beredar di kalangan rakan-rakan kolejnya membuatkan John mula musykil.
 "Aku dengar dari nenek aku, patung tu berhantu! Kalau kau pandang lama-lama, silap-silap, mata patung bergerak dan pandang kau balik. Kalau kau tak percaya, cuba kau tenung patung tu...," salah seorang rakan John mencabar setelah tahu bapa John tegar membeli patung berpuaka itu.
 "Kau nak bertaruh dengan aku apa? Takkan kosong aje?" cabar John kembali. Setiap cabaran haruslah ada habuan.
 "100 ringgit! Amacam? Sanggup? Tapi aku takut, kau dah tak datang kolej besok sebab kena pangkah dengan patung tu! Hahahaha!"
 Ejekan dan cabaran tersebut, menguatkan lagi semangat John bagi mencuba.
 Kalau tak terjadi apa-apa kepadanya, memang terbukti cerita-cerita yang beredar dari mulut ke mulut itu tidak ubah hanya sekadar sebuah urban legend yang tidak sahih!
 Pulang dari kolej, John curi-curi masuk ke bilik galeri bapanya. Bapanya paling pantang sekiranya ada yang memasuki galeri itu tanpa kebenaran kerana ia hanya bagi tatapan tetamu, sebagai alat bermegah-megah dengan koleksi yang dia punya.
 Patung perempuan itu, berada di tengah ruang. Tanpa sedikit pun rasa ragu, John mendekati patung tersebut. Dia mencari mata patung itu lalu merenungnya dalam-dalam.
 Sedetik... dua detik... tiga detik... hingga masuk detik ke sepuluh, tiada apa-apa yang berlaku. Beberapa kali mencuba, patung itu tetap tidak menunjukkan apa-apa perubahan. Sudahnya mata John yang penat sendiri. Dia kembali menegakkan tubuh sambil mengeluh kesal.
 "Bodoh betul aku ni! Yang aku percaya sangat dengan cakap diorang kenapa? Dah sah-sahlah patung ni cuma patung, mana boleh bergerak! Cis! Bodoh betul!" John memaki diri sendiri lalu segera berpaling.
 Saat dia berpaling itu, tanpa disedarinya, tiba-tiba sahaja kepala patung itu berpusing. Bola matanya bergerak perlahan lalu merenung tajam ke arah John yang sedang berjalan keluar galeri.
 Esoknya, John membuktikan kepada rakan-rakannya dia masih hidup dan bernyawa. Wang taruhan 100 ringgit menjadi miliknya. Tapi beberapa orang rakannya masih tidak berpuas hati.
 "Aku tak percayalah! Jangan-jangan kau tipu! Kau tak renung pun mata patung tu!"
 "Eh! Jangan main-main tuduh-tuduh! Aku memang renung mata patung tu sampai biji mata aku rasa nak terkeluar. Tapi tak ada apa-apa pun berlaku. Malah aku pulak yang rasa bodoh!"
 "Bohong!"
 John benar-benar bengang dituduh berbohong. Dia merasakan perlu berbuat sesuatu bagi membuktikan kebenaran kata-katanya.
 "Laa... patung tu memang tak ada apa-apa! Karut aje semua cerita yang korang dengar tu. Kalau korang tak percaya, ha, datang rumah aku dan tengok sendiri! Kali ni aku cabar korang pulak! 200 ringgit!"
 Mendengarkan nilai 200 ringgit yang ditawarkan oleh John, mata masing-masing mulai membulat dengan sinar $ terbayang di mata. Cepat sahaja mereka menyetujui cabaran John.
 Ketiadaan bapa John yang ke luar negeri, memudahkan lagi aktiviti John dan rakan-rakannya. Mereka menyusup ke dalam galeri. Mulut masing-masing melopong apabila melihat koleksi patung-patung yang ada di dalamnya.
Apabila mereka melihat patung perempuan yang dimaksudkan, bukaan mulut mereka semakin melebar.
 "Wah... macam orang betul!"
 "Perghhh... dada dia!"
 "Sumpah, kalau dia ni manusia, mahu aku mengorat dia!"
 John tergelak mendengar komen-komen mengarut rakan-rakannya itu.
 "Ha... korang tengoklah patung perempuan tu puas-puas. Kejap lagi aku datang balik bawak makanan dan minuman...," John berkata sebelum meninggalkan tiga orang rakannya itu mengelilingi patung perempuan tersebut dengan rasa kagum.
 Di dapur, John, mengeluarkan semua makanan dan minuman yang enak-enak dari simpanan. Semua makanan dan minuman itu ditatangnya dengan dulang besar.
 Ketika mendekati bilik galeri, John berasa hairan kerana tidak mendengar apa-apa suara. John masih tidak mengesyaki apa-apa.
 "Hey, korang buat apa kat dalam tu? Kenapa senyap aje? Takkan dah kena sumpah kut?" John berkelakar. Suasana masih sepi.
 John mula pelik. "Hoi, bukalah pintu ni! Janganlah main-main! Aku tak bagi makan kang!" Namun tiada sesiapa pun yang menyahut. John semakin hairan. "Haih? Takkan asyik benar tatap patung sampai tak dengar aku panggil? Hoi korang!"
 Apabila masih tiada sahutan, John meletakkan dulang di lantai. Dia membuka pintu. Tetapi belum pun sempat mulutnya mengeluarkan suara, John terpanar melihat rakan-rakannya bergelimpangan di atas lantai dengan mata masing-masing romping, berdarah! Patung itu pula tiada lagi di tengah ruang.
 "Mustahil! Hey! Apa dah jadi dengan korang ni? mana patung tu?" teriak John ingin mendapatkan Peter yang paling dekat dengannya.
 "Lari John! Selamatkan diri kau!" Peter mengerang.
 Tidak sempat bertanya lanjut, tiba-tiba John merasakan ada tangan memegang kakinya. Dia melihat ke bawah. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat patung perempuan itu kini hidup dalam keadaan bertembaga. Hanya tiang bulat yang bercantum di pinggangnya sahaja yang keras.
 John berteriak ketakutan. Akibat pegangan kuat itu, John jatuh terduduk di atas lantai.
 "Jangan pandang matanya... lari John! Lari selamatkan nyawa kau!" Peter masih berusaha berkata-kata.
 Patung itu tiba-tiba menoleh ke arah Peter. Kepalanya terangkat tinggi dari lantai. Dihantukkan kepalanya ke kepala Peter! Darah terpercik akibat retakan yang terhasil pada tengkorak Peter. Peter tidak lagi bergerak.
 Tangan patung itu mencengkam kaki John pula. Apabila patung itu menoleh ke arahnya, John segera memejamkan mata sambil tangannya berusaha meleraikan pegangan patung itu pada kakinya.
 Tiba-tiba John merasakan kesakitan yang amat sangat pada pergelangan tangannya. Akhirnya dia terpaksa membuka mata.
 "Arghhhhhh" John berteriak kesakitan kerana patung itu kini sedang membaham tangannya. John menggelupur.
 Dia menarik tangannya sekuat hati. Tussss! Bercerai tangan dari pergelangannya. John meraung tanpa ampun memegang tangannya yang sudah putus itu.
 Namun saat menyedari itulah peluangnya menyelamatkan diri, John berusaha bangun. Dia berlari sekuat hati dengan tenaga yang masih ada. Tetapi siapa sangka, patung itu mengejarnya dalam keadaan menyeret lantai. Bunyi tembaga bergesel, mengilukan gigi.
 John terus berlari dan berlari sehingga akhirnya dia menemui orang ramai. Dia rebah tidak berdaya lagi. Orang ramai mula memberikan bantuan kepadanya. John mengeluh lega. Namun apabila dia menoleh, patung tadi tiada lagi!
 Tiada siapa tahu ke mana perginya patung itu. Malahnya tiada siapa pun yang mengaku melihat patung itu mengejar John.
 Hanya setelah beberapa tahun kemudian, patung itu muncul di sebuah tempat lelongan harta...

Saturday, 5 May 2012

Anaknya Kembali

 Marina dan Arshad  sudah berkahwin selama enam tahun. Hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Rizal. Dari kecil, sehingga berusia lima tahun, Rizal dimanjakan dan ditatang bagai minyak yang penuh. Akibatnya Rizal menjadi seorang kanak-kanak yang degil, hanya tahu semua kemahuannya dituruti. Sekiranya tidak dapat apa yang diingini, Rizal akan melalak, berteriak sekuat hati.
 Lantaran itu, ramailah rakan dan saudara mara menasihati mereka agar mendapatkan seorang lagi anak, agar sikap Rizal akan berubah menjadi seorang abang yang bertanggungjawab dan tidak membesar sebagai orang yang mementingkan diri sndiri.
 Merasakan itulah satu-satunya jalan bagi menyelesaikan masalah, Marina dan Arshad berusaha untuk mendapatkan anak lagi. Beberapa bulan kemudian, Marina disahkan mengandung. Gembiranya mereka tidak terkata. Hari-hari mereka berkata kepada Rizal bahawa tidak lama lagi, Rizal akan mendapat adik.
 Namun hal itu amat tidak menyenangkan Rizal. Setiap kali mendengar perkataan adik, Rizal akan bertempik.
 "Tak mahu adik!!! Kalau ada adik mama dan abah tentu tak sayang Rizal lagi! Rizal tak mahu adik! Benci Adik!
 Lebih mengejutkan apabila Rizal cuba memukul perut Marina. Arshad tidak dapat bersabar lagi. Dia mencubit Rizal dan memarahinya. Akibatnya, Rizal merajuk. Tidak mahu makan, tidak mahu ke sekolah dan berkurung dalam bilik.
 Puaslah Marina dan Arshad cuba memujuk sehingga terpaksa memberikan hadiah mahal. Barulah Rizal mahu bercakap dengan mereka.
 Marina akhirnya melahirkan seorang lagi anak lelaki. Ketika menyambut kelahiran itu, Marina dan Arshad bagaikan terlupa kepada Rizal. Melihat Marina dan Arshad begitu asyik mengulit bayi baru, Rizal berasa sangat kecil hati. Dia menangis dan diam-diam menyorok dalam almari.
 Apabila menjelang malam, barulah Marina teringatkan Rizal. Menyedari Rizal tidak ada, barulah Arshad kelam kabut mencarinya. Puas dipanggil, digeledah serata bilik, namun Rizal tidak menyahut.
 Akhirnya Arshad baru terfikir mahu mencari dalam almari apabila terdengar bunyi dari dalam. Alangkah terkejutnya Arshad apabila mendapati Rizal terkulai tidur keletihan dalam almari dengan badan berpeluh-peluh.
 Walaupun begitu, Marina dan Arshad tetap tidak mengambil iktibar daripada kejadian tersebut. Perhatian mereka kepada Rizal semakin hari semakin berkurangan. Pendek kata bukan masalah Rizal itu perlukan adik, tetapi sikap Marina dan Arshad itu sendiri yang bagaikan dapat gading bertuah, tanduk dilupakan.
 Diam-diam Rizal simpan dendam dalam hati. Apa tidaknya, sejak ada adik, dia yang selalu mengalah. Sikit-sikit, "Rizal... cubalah mengalah sikit!"
 "Rizal kan dah besar! Mainan tu bagi adik aje!"
 "Rizal! Jangan kacau adik, adik tu kecik lagi!"
 Sejak itu, Rizal jadi pendiam. Dia hanya memerhati sahaja adiknya, Rafik dimanjakan. Apa sahaja dibelikan oleh Marina dan Arshad untuk Rafik. Pendek kata Rizal tidak merasa lagi kemanjaan seperti dulu kerana Marina dan Arshad sering melebihkan Rafik.
 Sehinggalah Rafik berusia tujuh tahun. Perasaan dendam Rizal semakin menjadi-jadi. Cemburu sungguh dia melihat Rafik mendapat apa sahaja yang dimahukan.
 Suatu hari, ketika Marina sedang memasak di dapur, Rizal bermain sendirian di pondok yang dibinanya sendiri di atas pokok di tepi rumah mereka. Di situlah tempat Rizal sering menghabiskan masa apabila merajuk sehinggakan pernah tertidur di situ sampai malam.
 Tiba-tiba datang Rafik, membawa bersama patung Utraman. Dari bawah pokok, dia mendongak. "Abang! Adik nak naik situ boleh? Turunkanlah tangga tali tu."
 Rizal tidak menjawab, hanya menjeling tajam. Tidak ingin dia menurunkan tangga tali yang dimaksudkan oleh Rafik itu walaupun Rafik merayu.
 "Jangan kacau akulah! Kalau kau nak sangat naik ke sini... panjat sendiri!" cabar Rizal kerana dia tahu Rafik tidak berani memanjat pokok. 
 Namun, tanpa diduga, Rafik menyahut cabaran itu. Selepas menyelitkan patung mainannya ke pinggang seluar, dia mula memanjat. Rizal melihat dengan cemas. Dia takut melihat cara Rafik memanjat seperti labah-labah dengan kepala terdongak memandangnya. Bahkan dia mula rasa tidak senang memikirkan sekiranya Rafik berjaya naik ke pondoknya.
 "Hey, turunlah! Jangan naik ke sini! Aku tak suka kau!" marah Rizal, semakin cuak kerana Rafik semakin menghampiri. Rafik tersengih-sengih.
 Sehingga akhirnya Rafik berjaya memegang lantai pondok, Rizal semakin hilang arah. Kemarahannya membuak.
 "Abang, tolong tarik tangan adik!" pinta Rafik.
 Tetapi, bukannya membantu Rizal bertindak memijak tangan adiknya itu. Rafik menjerit kesakitan dan akibatnya, dia terlepas pegangan lalu tanpa ampun, jatuh berdebuk ke tanah. Rafik menggelepar dengan mata buntang memandang Rizal. Beberapa ketika kemudian, darah pekat menyembur keluar dari mulut Rafik.
 Takut melihat keadaan Rafik, Rizal berteriak sekuat hati.
 "Mak!!! Adik jatuh!!!"
  Suara jeritan Rizal itu mengejutkan Marina. Dia bergegas keluar dari rumah. Apabila melihat tubuh Rafik terbaring di atas tanah, Marina terpekik lalu meluru mendapatkan anak bongsunya itu.
 "Rizal! Macam mana adik boleh jadi macam ni?!" jerit Marina ketika memangku Rafik. Dia mendongak memandang Rizal yang bermuka pucat lesi di atas pondok.
 "Aaa... adik... nak panjat... Rizal tak bagi... tapi adik degil... lepas tu dia jatuh..." kata Rizal tergagap-gagap dengan muka bertambah pucat kerana terkejut melihat mata Rafik yang tadinya tertutup rapat, terbelalak semula memandangnya!
 Marina tidak menghiraukan Rizal lagi. Sambil menangis meraung, Marina menghubungi Arshad di tempat kerja, memaklumkan keadaan Rafik. Dengan bantuan jiran, Marina membawa Rafik ke hospital dan Arshad terus bergegas ke sana dari tempat kerja. Sedangkan Rizal ditinggalkan begitu sahaja, tergamam dengan muka pucat di atas pondok.
 Walaupun bermacam usaha dilakukan, Rafik tetap tidak dapat diselamatkan. Anak itu meninggal dunia setengah jam setelah dirawat oleh doktor. Marina dan Arshad tidak dapat menerima kenyataan itu. Apabila mereka pulang ke rumah, mereka bertindak memaksa Rizal menceritakan hal yang sebenarnya. Malah Marina sampai sanggup naik tangan mencubit Rizal.
 Hal itu menyebabkan Rizal semakin berdendam dan berazam tidak mahu menceritakan perkara sebenar. Malah dia bersyukur Rafik meninggal dunia serta tidak sempat membuka rahsianya. Rizal terus berdiam diri walaupun teruk dipukul Marina dan Arshad yang menuduhnya tidak tahu menjaga adik.
 Rizal merajuk dan menangis semahu-mahunya. Tidak mahu turun dari pondok. Dia rela bermalam di situ daripada terus dipukul dan dituduh macam-macam. Sehingga akhirnya mereka tersedar yang mereka tidak sepatutnya memperlakukan satu-satunya anak mereka yang tinggal. Akhirnya Marina dan Arshad berusaha memujuk Rizal dengan kata-kata sayang. Barulah Rizal termakan pujuk. Baru terasa yang dia berjaya mendapatkan kembali kasih sayang ibu bapanya.
 Namun, kebahagiaan Rizal tidak bertahan lama apabila setahun kemudian, ibunya melahirkan seorang lagi anak lelaki. Betapa Rizal kembali merasakan kasih sayangnya dirampas oleh adik baru. Tambahan pula, sejak adik barunya yang dinamakan Rais itu lahir, ibu bapanya memberikan tumpuan penuh pada anak kecil itu. Keadaan itu berlarutan sehingga Rais berusia tiga tahun.
 Rais dimanjakan sepenuhnya sedangkan Rizal terpaksa mengalah dalam banyak hal. Namun ada sesuatu yang pelik pada Rais. Rizal tidak tahu mengapa, ada kalanya Rais merenugnya tajam, seperti Rizal berhutang sesuatu dengannya. Walaupun adiknya itu masih kecil, tetapi Rizal berasa seram sejuk setiap kali direnung lama oleh Rais.
 Kadangkala Rizal memarahi Rais kerana tidak senang dengan tabiatnya itu. Namun Rais menajamkan lagi pandangan.
 Suatu hari, Rizal sedang duduk bersantai di pondok atas pokok, seperti dulu-dulu. Tiba-tiba datang Rais, mendongak memandang Rizal. Walau bagaimanapun, Rizal malas melayan dan dia meneruskan bacaan komiknya. Sehinggalah dia mendengar satu suara dekat di telinganya.
 "Abang, tolong tarik tangan adik!"
 Kontan, Rizal terlompat bangun dan dia terperangah melihat Rais yang berusia tiga tahun itu tiba-tiba berada di dahan pokok sambil menghulurkan tangan.
 "Heh... mmm... macam mana kau boleh naik ke sini?" tanya Rizal dengan mata terbelalak.
 Rais ketawa geli hati. "Ala... cepatlah tarik tangan adik, takkanlah abang nak pijak lagi adik macam dulu..."
 Darah Rizal berderau, dia ternganga dengan mata melebar.Suara Rais benar-benar serupa dengan arwah Rafik! Tetapi bagaimana Rais boleh petah bercakap macam budak besar?
 "Cepatlah abang!"
 Rizal menapak ke belakang tanpa menyedari dia kini berada di pinggir lantai pondok. Rais melompat dari dahan dan tak ayal, Rizal terjungkang ke belakang akibat terlampau terkejut. Lalu, tanpa ampun, Rizal jatuh berdebuk ke bawah.
 "Mak! Abang jatuh!!!"
 Dalam keadaan terlentang tidak mampu bangun, mata Rizal buntang memandang Rais yang tersengih di atas pondok. Ketika nyawanya di hujung tanduk, baru Rizal sedar yang Rafik kini ada dalam tubuh Rais, menjadi orang yang sama!
]