Marina dan Arshad sudah berkahwin selama enam tahun. Hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Rizal. Dari kecil, sehingga berusia lima tahun, Rizal dimanjakan dan ditatang bagai minyak yang penuh. Akibatnya Rizal menjadi seorang kanak-kanak yang degil, hanya tahu semua kemahuannya dituruti. Sekiranya tidak dapat apa yang diingini, Rizal akan melalak, berteriak sekuat hati.
Lantaran itu, ramailah rakan dan saudara mara menasihati mereka agar mendapatkan seorang lagi anak, agar sikap Rizal akan berubah menjadi seorang abang yang bertanggungjawab dan tidak membesar sebagai orang yang mementingkan diri sndiri.
Merasakan itulah satu-satunya jalan bagi menyelesaikan masalah, Marina dan Arshad berusaha untuk mendapatkan anak lagi. Beberapa bulan kemudian, Marina disahkan mengandung. Gembiranya mereka tidak terkata. Hari-hari mereka berkata kepada Rizal bahawa tidak lama lagi, Rizal akan mendapat adik.
Namun hal itu amat tidak menyenangkan Rizal. Setiap kali mendengar perkataan adik, Rizal akan bertempik.
"Tak mahu adik!!! Kalau ada adik mama dan abah tentu tak sayang Rizal lagi! Rizal tak mahu adik! Benci Adik!
Lebih mengejutkan apabila Rizal cuba memukul perut Marina. Arshad tidak dapat bersabar lagi. Dia mencubit Rizal dan memarahinya. Akibatnya, Rizal merajuk. Tidak mahu makan, tidak mahu ke sekolah dan berkurung dalam bilik.
Puaslah Marina dan Arshad cuba memujuk sehingga terpaksa memberikan hadiah mahal. Barulah Rizal mahu bercakap dengan mereka.
Marina akhirnya melahirkan seorang lagi anak lelaki. Ketika menyambut kelahiran itu, Marina dan Arshad bagaikan terlupa kepada Rizal. Melihat Marina dan Arshad begitu asyik mengulit bayi baru, Rizal berasa sangat kecil hati. Dia menangis dan diam-diam menyorok dalam almari.
Apabila menjelang malam, barulah Marina teringatkan Rizal. Menyedari Rizal tidak ada, barulah Arshad kelam kabut mencarinya. Puas dipanggil, digeledah serata bilik, namun Rizal tidak menyahut.
Akhirnya Arshad baru terfikir mahu mencari dalam almari apabila terdengar bunyi dari dalam. Alangkah terkejutnya Arshad apabila mendapati Rizal terkulai tidur keletihan dalam almari dengan badan berpeluh-peluh.
Walaupun begitu, Marina dan Arshad tetap tidak mengambil iktibar daripada kejadian tersebut. Perhatian mereka kepada Rizal semakin hari semakin berkurangan. Pendek kata bukan masalah Rizal itu perlukan adik, tetapi sikap Marina dan Arshad itu sendiri yang bagaikan dapat gading bertuah, tanduk dilupakan.
Diam-diam Rizal simpan dendam dalam hati. Apa tidaknya, sejak ada adik, dia yang selalu mengalah. Sikit-sikit, "Rizal... cubalah mengalah sikit!"
"Rizal kan dah besar! Mainan tu bagi adik aje!"
"Rizal! Jangan kacau adik, adik tu kecik lagi!"
Sejak itu, Rizal jadi pendiam. Dia hanya memerhati sahaja adiknya, Rafik dimanjakan. Apa sahaja dibelikan oleh Marina dan Arshad untuk Rafik. Pendek kata Rizal tidak merasa lagi kemanjaan seperti dulu kerana Marina dan Arshad sering melebihkan Rafik.
Sehinggalah Rafik berusia tujuh tahun. Perasaan dendam Rizal semakin menjadi-jadi. Cemburu sungguh dia melihat Rafik mendapat apa sahaja yang dimahukan.
Suatu hari, ketika Marina sedang memasak di dapur, Rizal bermain sendirian di pondok yang dibinanya sendiri di atas pokok di tepi rumah mereka. Di situlah tempat Rizal sering menghabiskan masa apabila merajuk sehinggakan pernah tertidur di situ sampai malam.
Tiba-tiba datang Rafik, membawa bersama patung Utraman. Dari bawah pokok, dia mendongak. "Abang! Adik nak naik situ boleh? Turunkanlah tangga tali tu."
Rizal tidak menjawab, hanya menjeling tajam. Tidak ingin dia menurunkan tangga tali yang dimaksudkan oleh Rafik itu walaupun Rafik merayu.
"Jangan kacau akulah! Kalau kau nak sangat naik ke sini... panjat sendiri!" cabar Rizal kerana dia tahu Rafik tidak berani memanjat pokok.
Namun, tanpa diduga, Rafik menyahut cabaran itu. Selepas menyelitkan patung mainannya ke pinggang seluar, dia mula memanjat. Rizal melihat dengan cemas. Dia takut melihat cara Rafik memanjat seperti labah-labah dengan kepala terdongak memandangnya. Bahkan dia mula rasa tidak senang memikirkan sekiranya Rafik berjaya naik ke pondoknya.
"Hey, turunlah! Jangan naik ke sini! Aku tak suka kau!" marah Rizal, semakin cuak kerana Rafik semakin menghampiri. Rafik tersengih-sengih.
Sehingga akhirnya Rafik berjaya memegang lantai pondok, Rizal semakin hilang arah. Kemarahannya membuak.
"Abang, tolong tarik tangan adik!" pinta Rafik.
Tetapi, bukannya membantu Rizal bertindak memijak tangan adiknya itu. Rafik menjerit kesakitan dan akibatnya, dia terlepas pegangan lalu tanpa ampun, jatuh berdebuk ke tanah. Rafik menggelepar dengan mata buntang memandang Rizal. Beberapa ketika kemudian, darah pekat menyembur keluar dari mulut Rafik.
Takut melihat keadaan Rafik, Rizal berteriak sekuat hati.
"Mak!!! Adik jatuh!!!"
Suara jeritan Rizal itu mengejutkan Marina. Dia bergegas keluar dari rumah. Apabila melihat tubuh Rafik terbaring di atas tanah, Marina terpekik lalu meluru mendapatkan anak bongsunya itu.
"Rizal! Macam mana adik boleh jadi macam ni?!" jerit Marina ketika memangku Rafik. Dia mendongak memandang Rizal yang bermuka pucat lesi di atas pondok.
"Aaa... adik... nak panjat... Rizal tak bagi... tapi adik degil... lepas tu dia jatuh..." kata Rizal tergagap-gagap dengan muka bertambah pucat kerana terkejut melihat mata Rafik yang tadinya tertutup rapat, terbelalak semula memandangnya!
Marina tidak menghiraukan Rizal lagi. Sambil menangis meraung, Marina menghubungi Arshad di tempat kerja, memaklumkan keadaan Rafik. Dengan bantuan jiran, Marina membawa Rafik ke hospital dan Arshad terus bergegas ke sana dari tempat kerja. Sedangkan Rizal ditinggalkan begitu sahaja, tergamam dengan muka pucat di atas pondok.
Walaupun bermacam usaha dilakukan, Rafik tetap tidak dapat diselamatkan. Anak itu meninggal dunia setengah jam setelah dirawat oleh doktor. Marina dan Arshad tidak dapat menerima kenyataan itu. Apabila mereka pulang ke rumah, mereka bertindak memaksa Rizal menceritakan hal yang sebenarnya. Malah Marina sampai sanggup naik tangan mencubit Rizal.
Hal itu menyebabkan Rizal semakin berdendam dan berazam tidak mahu menceritakan perkara sebenar. Malah dia bersyukur Rafik meninggal dunia serta tidak sempat membuka rahsianya. Rizal terus berdiam diri walaupun teruk dipukul Marina dan Arshad yang menuduhnya tidak tahu menjaga adik.
Rizal merajuk dan menangis semahu-mahunya. Tidak mahu turun dari pondok. Dia rela bermalam di situ daripada terus dipukul dan dituduh macam-macam. Sehingga akhirnya mereka tersedar yang mereka tidak sepatutnya memperlakukan satu-satunya anak mereka yang tinggal. Akhirnya Marina dan Arshad berusaha memujuk Rizal dengan kata-kata sayang. Barulah Rizal termakan pujuk. Baru terasa yang dia berjaya mendapatkan kembali kasih sayang ibu bapanya.
Namun, kebahagiaan Rizal tidak bertahan lama apabila setahun kemudian, ibunya melahirkan seorang lagi anak lelaki. Betapa Rizal kembali merasakan kasih sayangnya dirampas oleh adik baru. Tambahan pula, sejak adik barunya yang dinamakan Rais itu lahir, ibu bapanya memberikan tumpuan penuh pada anak kecil itu. Keadaan itu berlarutan sehingga Rais berusia tiga tahun.
Rais dimanjakan sepenuhnya sedangkan Rizal terpaksa mengalah dalam banyak hal. Namun ada sesuatu yang pelik pada Rais. Rizal tidak tahu mengapa, ada kalanya Rais merenugnya tajam, seperti Rizal berhutang sesuatu dengannya. Walaupun adiknya itu masih kecil, tetapi Rizal berasa seram sejuk setiap kali direnung lama oleh Rais.
Kadangkala Rizal memarahi Rais kerana tidak senang dengan tabiatnya itu. Namun Rais menajamkan lagi pandangan.
Suatu hari, Rizal sedang duduk bersantai di pondok atas pokok, seperti dulu-dulu. Tiba-tiba datang Rais, mendongak memandang Rizal. Walau bagaimanapun, Rizal malas melayan dan dia meneruskan bacaan komiknya. Sehinggalah dia mendengar satu suara dekat di telinganya.
"Abang, tolong tarik tangan adik!"
Kontan, Rizal terlompat bangun dan dia terperangah melihat Rais yang berusia tiga tahun itu tiba-tiba berada di dahan pokok sambil menghulurkan tangan.
"Heh... mmm... macam mana kau boleh naik ke sini?" tanya Rizal dengan mata terbelalak.
Rais ketawa geli hati. "Ala... cepatlah tarik tangan adik, takkanlah abang nak pijak lagi adik macam dulu..."
Darah Rizal berderau, dia ternganga dengan mata melebar.Suara Rais benar-benar serupa dengan arwah Rafik! Tetapi bagaimana Rais boleh petah bercakap macam budak besar?
"Cepatlah abang!"
Rizal menapak ke belakang tanpa menyedari dia kini berada di pinggir lantai pondok. Rais melompat dari dahan dan tak ayal, Rizal terjungkang ke belakang akibat terlampau terkejut. Lalu, tanpa ampun, Rizal jatuh berdebuk ke bawah.
"Mak! Abang jatuh!!!"
Dalam keadaan terlentang tidak mampu bangun, mata Rizal buntang memandang Rais yang tersengih di atas pondok. Ketika nyawanya di hujung tanduk, baru Rizal sedar yang Rafik kini ada dalam tubuh Rais, menjadi orang yang sama!
]
No comments:
Post a Comment